Tiga Perkara Jadikan Hidup Sempurna
SEBAGAI manusia sering diuji dengan
pelbagai cabaran dalam kehidupan seperti sakit, kesusahan hidup dan
kematian, ketabahan manusia menghadapi ujian Allah banyak bergantung
kepada keimanan seseorang.
Allah SWT berfirman bermaksud, “Kamu
sekalian Kami uji dengan keadaan serba ketakutan, lapar dan serba
kekurangan, baik mengenai harta, jiwa, mahupun mengenai hasil tanaman,
dan buah-buahan, gembiralah orang yang sabar, tidak ditimpa sesuatu
musibah, mereka (berserah diri kepada Allah) dengan mengucapkan: kami
kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali.” (Al-Baqarah: 156).
Ayat ini jelas menunjukkan kehidupan
manusia itu sentiasa diuji dengan pelbagai cubaan. Ujian ini bertujuan
melihat kesabaran pada hamba-Nya.
Firman Allah bermaksud, “Hai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sesungguhnya takwa.” (Surah Ali Imran:102).
Selanjutnya Allah berfirman bermaksud,
“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memberi
kepadanya jalan keluar (dari segala kesukaran) dan diberinya rezeki dari
arah yang tiada disangka-sangka.” (Riwayat Surah Ath Thalaq:2-3).
Setiap ujian dan dugaan dalam kehidupan
akan mendidik seseorang itu menjadi manusia sejati iaitu beriman,
bertakwa, serta meneruskan tujuan hidup mencari keredaan Allah.
Kehidupan jangan tersasar dan mesti
mengikut Rasulullah SAW dalam segala bidang. Baik yang berhubung dengan
Allah mahupun berhubungan dengan sesama manusia. Hal ini sesuai dengan
firman Allah bermaksud, “Tidak ada manusia yang paling mulia di sisi
Allah melainkan yang benar-benar takwa kepada Allah.” (Al-Hujarat:13)
Dalam hal kesabaran Nabi SAW mengingatkan
dalam sabdanya bermaksud, “Sabar yang sebenarnya pada saat bermula
tertimpa musibah.” (Riwayat Al Bukhari).
Sementara Hukamak pernah berkata,
“Apabila seseorang itu reda menerima apa-apa yang dikurniakan oleh Allah
kepadanya, maka dia akan menjadi orang terkaya di dunia.” Oleh itu,
reda dan sabar adalah kekuatan yang ada dalam diri seseorang dalam
menghadapi ujian dan musibah.
Seterusnya, Nabi SAW bersabda bermaksud,
“Tidak ada suatu rezeki yang Allah berikan kepada seorang hamba yang
lebih luas baginya daripada sabar.” (Riwayat Al-Hakim).
Ada pepatah mengatakan kesempurnaan hidup
terletak pada tiga perkara, iaitu pandai menahan hati dalam menjunjung
agama, sabar ketika ditimpa musibah dan pandai mengatur belanja.
Sementara itu, ahli Tasauf Hassan Basri
menyatakan, “Barang siapa tidak ada adab bererti tidak ada ilmu. Barang
siapa tidak ada kesabaran, bererti ia tidak ada agama. Barang siapa
tidak ada sifat warak, bererti ia tidak dekat dengan Tuhannya.”
Sifat sabar sangat penting dalam
kehidupan. Kata-kata ini boleh dijadikan renungan “Sabar terhadap teman
yang menyakitkan lebih baik daripada mencacinya. Mencaci adalah lebih
daripada memutuskan silaturahim dan memutuskan silaturahim adalah lebih
baik daripada berkelahi”.
Dalam kehidupan tidak ada seorang pun
yang terlepas daripada kesedihan dan tidak seorang manusia pun yang
terhindar daripada kesusahan. Oleh itu, bersabar menghadapi musibah.
Dr Aidh Abdullah Al-Qarni mengatakan,
“Setiap musibah yang menimpa dirimu misalnya kesedihan, kesusahan,
kelaparan, kemiskinan, penyakit, hutang dan musibah lain, Allah akan
memberi pahalanya kepada anda jika anda bersabar.”
Percayalah dunia ini adalah tempat ujian
dan cubaan. Semuanya ini adalah ke arah mencari reda Allah. Oleh itu,
kita digalakkan meminta pertolongan hanya kepada Allah.
Sebagai ibu bapa, seseorang itu mesti
bersabar menghadapi kerenah anak yang sedang membesar. Semua kebahagiaan
terletak pada kesabaran ibu bapa yang menentukan sama ada bahagia atau
sebaliknya dalam rumah tangga.
Dalam kehidupan, kita tidak berjaya
mendapatkan apa yang kita sukai, melainkan kita bersabar pada perkara
yang kita tidak senangi.
Sesungguhnya, sifat sabar dapat memaafkan
kesalahan orang lain dan juga tabah menjadikan hati tenang, fikiran dan
perasaan sanggup menahan penderitaan dihadapi dalam kehidupan penuh
pancaroba.
0 komentar:
Posting Komentar